|
Kolokium Penyelidikan Himpun Penyelidik UDM |
|
Kolokium Penyelidikan dan Pelancaran Buku Terbitan UDM telah diadakan dengan jayanya pada 20-22 November 2007 bertempat di Awana & Spa Kijal Kemaman Terengganu. Kolokium ini merupakan kemuncak acara yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi bagi tahun 2007 telah mengumpul kesemua penyelidik yang terlibat dengan penyelidikan yang dibiayai oleh universiti. Dalam kolokium ini, kesemua penyelidik membentangkan kemajuan dan tahap pelaksanaan semasa projek penyelidikan masing-masing. Sebanyak 30 projek penyelidikan telah dibentangkan dan hasil keseluruhan pembentangan menunjukkan komitmen tinggi para pensyarah menjalankan penyelidikan. Di samping itu juga dapat menunjukkan kebanyakan projek dalam proses pelaksanaan pada fasa-fasa kemajuan tertentu seperti fasa pengumpulan data, fasa analisis atau fasa penulisan laporan. Kolokium ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor, Dato' Prof. Dr. Alias bin Daud dalam satu majlis yang meriah.
 Dato' Naib Canselor UDM menurunkan tandatangan pada buku terbitan UDM sempena pelancaran Kolokium Penyelidikan UDM.
Turut hadir di majlis perasmian ini ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Pemangku Pendaftar dan Dekan-Dekan fakulti. Dalam ucapan perasmian, Dato' Naib Canselor antara lain menjelaskan kepentingan penyelidikan kepada universiti. Sebagai sebuah universiti baru, UDM seharusnya berusaha mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dalam bidang masing-masing. Semua pensyarah seharusnya memahami tugasnya di uiversiti iaitu terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran dan penyelidikan. Beliau turut berkongsi pengalamannya sebagai penyelidik untuk memberi motivasi kepada penyelidik baru di UDM. Pada majlis ini juga turut diadakan majlis pelancaran dua (2) buah buku terbitan UDM yang bertajuk Seminar Warisan Negeri Terengganu 2007 dan Orang Asli Negeri Terengganu: Warisan dan Pembangunan. Buku-buku yang dilancar ialah himpunan artikel daripada prosiding seminar yang dianjurkan oleh UDM. Ekoran dari kolokium ini, diharapkan agar suntikan semangat untuk menjalankan penyelidikan semakin berkobar pada setiap pensyarah. Bagi Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi pula, usaha-usaha mengerakkan aktiviti penyelidikan terus dipergiatkan agar ianya menjadi budaya kepada pensyarah UDM. Umumnya, kolokium ini berjaya memberi ruang kepada penyelidik UDM membentangkan hasil penyelidikan masing-masing, dan diharapkan keupayaan pensyarah UDM dalam melaksanakan penyelidikan akan terus meningkatkan ke peringkat yang lebih tinggi. |
|